3 LANGKAH ASAS PENJAGAAN WAJAH

Kulit wajah yang tidak menghadapi sebarang masalah seperti jerawat, masalah kulit kering, dan jeragat pastinya bonus bagi empunya diri. Walaubagaimanapun, keadaan kulit wajah yang sempurna tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengabaikan penjagaan kulit. Memang terdapat sebahagian individu yang kurang menitik berat hal penjagaan wajah kerana dianggap tidak perlu ataupun kurang penting.



Tidak perlu berhabis-habisan wang ringgit berkunjung ke SPA atau pusat penjagaan wajah hanya untuk melakukan 3 langkah asas dalam penjagaan kulit wajah kerana 3 langkah ini boleh dilakukan sendiri di rumah. Yang mahal tidak semestinya bagus, dan yang murah tidak semestinya tidak elok. Hanya mengaplikasikan sedikit teknik urutan yang betul dapat memberikan impak pada empunya kulit. Sesekali berkunjung ke pusat-pusat rawatan wajah memadai, mungkin kita ingin kulit dibelai  oleh seseorang.

Apakah 3 langkah asas penjagaan wajah itu? Pernahkan 3 amalan ini dilakukan dalam penjagaan seharian kulit? MENCUCI, MENYEGAR DAN MELEMBAP. 3 langkah ini cukup mudah dilakukan setiap hari. Yang penting kesedaran terhadap penjagaan asas wajah dapat membantu anda memiliki kulit yang sihat dan berseri


1. Mencuci

 

Kulit adalah bahagian tubuh yang paling terdedah dengan debu, kekotoran dan bahan-bahan pencemaran yang lain. Walau apapun jenis kulit yang dimiliki, kulit tetap memerlukan cucian yang sempurna dengan melakukan rutin cucian yang betul. Pendedahan kulit terhadap bahan-bahan pencemaran yang lain mampu mendorong kepada masalah radang kulit. Selain mampu menganggu keseimbangan semulajadi kulit, ia juga dapat merosakkan fungsi asalnya.

Pilihlah pencuci muka berdasarkan jenis kulit yang dimiliki. Terdapat pelbagai jenis pencuci yang boleh dibeli mengikut bajet dan keperluan masing-masing. Elakkan mencampur adukkan jenama produk berlainan. Pencuci yang menghasilkan terlalu banyak buih mampu membuatkan kulit menjadi kering. Penggunaan bahan yang berasaskan organik amat disarankan seperti susu, yogurt dan out. Lakukan urutan lembut sewaktu mencuci muka untuk kira-kira 20-30 saat. Tindakan ini merangsang pengaliran darah kepada permukaan kulit. Bilas dengan air bersih secukupnya sehingga semua kesan kekotoran benar-benar telah tanggal dari kulit. Keringkan kulit dengan tuala lembut dengan cara tekap wajah sehingga kering.

2. Menyegar



Tidak kira apa jua jenis kulit, proses penyegaran juga perlu. Langkah menyegar boleh dibuat setelah selesai cucian wajah. Penggunaan penyegar sering kali dilupakan kerana ramai menyangka mencuci dan melembap sudah memadai, padahal ia amat penting bagi membantu mengimbangi semua elemen dalam rangkaian penjagaan kulit. Hanya basahkan kapas lembut dengan toner yang sesuai, oleskan pada keseluruhan wajah termasuk kawasan leher untuk mendapatkan kesan segar. Pastikan ia dilakukan dalam gerakan ke atas.


3. Melembap 









 
Melembap kulit dengan pelembap yang bersesuaian dengan jenis kulit merupakan bahagian paling penting dalam rutin penjagaan kulit. Titikkan sedikit pada wajah dan urut perlahan dengan jari dengan gerakkan ke atas. Ia akan memberi lapisan perlindungan kepada kulit, memudahkan solekan diaplikasikan dan memastikan keseimbangan pelembap.

Kandungan minyak semulajadi amat seimbang bagi kulit normal, akan tetapi adakalanya ia menjadi kering akibat faktor seperti cuaca, tekanan dan persekitaran. Struktur pelembap yang ringan seperti lotion sesuai untuk kulit normal. Keanjalan kulit mudah terjejas kepada kulit jenis kering. Pilihlah pelembap yang bertekstur keras seperti krim untuk kulit kering. Kulit berminyak memiliki kelenjar sebum yang aktif mengeluarkan minyak. Oleh yang demikian, penggunaan pelembap haruslah dielakkan. Walaubagaimanapun pemilik kulit jenis ini masih boleh menggunakan pelembap yang mengandungi bahan penyerap minyak berasaskan air.








Comments